KUALA LUMPUR, 30 April- Pendekatan Malaysia amal dasar luar yang seimbang antara rantau barat dan timur adalah langkah yang tepat dan wajar.
Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi, Malaysia (IDEAS) Dr Tricia Yeoh berkata beberapa perjanjian ditandatangani Malaysia bersama kedua-dua rantau berkenaan bukti negara berada di landasan yang betul.
"Sebagai contoh, Malaysia telah pun terlibat dalam penubuhan Non-Aligned Movement atau NAM. Sekarang juga Malaysia ada perhubungan giat ekonomi dan perdagangan dengan negara China dan ada juga hubungan giat dan perdagangan, ekonomi dan sebagainya dengan negara Amerika Syarikat.
"Ini adalah pilihan yang wajar dibuat oleh negara seperti Malaysia. Jangan lupa juga bahawa Malaysia ada pelbagai jenis tandatangan antarabangsa, seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) pada November 2022 yang telah ditandatangani oleh Malaysia dan sebanyak 12 ekonomi lain", katanya.
Beliau ditemui pada Forum Memimpin Perubahan Iklim di ASEAN: Harga Karbon Untuk Industri Keluli Malaysia, anjuran IDEAS Malaysia, di ibu negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) menjelaskan Malaysia mengamalkan pendekatan dasar luar yang seimbang antara barat dan timur, bagi mengelakkan sebarang keadaan yang dilihat sebagai provokatif.