
KUALA LUMPUR, 4 Februari – Dasar kerajaan mestilah jelas, konsisten dan berpaksikan kestabilan politik bagi menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang menarik kepada pelabur luar.
- Dasar kerajaan mesti jelas, konsisten dan berpaksikan kestabilan politik untuk tarik pelabur luar.
- Tumpuan kepimpinan pada perancangan masa depan dan pembangunan ekonomi menyeluruh penting bagi menarik pelaburan.
- Dasar khusus seperti semikonduktor, peralihan tenaga dan transformasi digital diperlukan untuk meyakinkan pelabur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini sekali gus mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat seterusnya mengurangkan kadar pengangguran.
Ke arah itu, beliau menegaskan tumpuan kepimpinan negara perlu diberikan kepada perancangan masa depan dan pembangunan ekonomi negera secara menyeluruh.
”Dalam usaha bangunkan negara, dasar mesti jelas.
“Orang tanya apa dia dasar kita, apa dasar semikonduktor, apa dasar peralihan tenaga, bagaimana dengan transformasi digital. Kita mesti ada dasar yang jelas, ini polisi kita kita, barulah pelaburan akan masuk,” katanya.
Perdana Menteri menyatakannya pada sesi soal jawab dalam sesi Temu Anwar di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), Kuala Lumpur.
Pada masa sama beliau turut memaklumkan negara mencatatkan prestasi pelaburan tertinggi dalam sejarah, disokong pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan serta kadar inflasi yang terkawal dan rendah.