KUALA LUMPUR, 5 Mac- Seramai 1,114 majikan telah membuka akaun untuk menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) setakat 27 Februari lalu.
Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli memaklumkan daripada jumlah tersebut, seramai 479 majikan telah mengemukakan permohonan dan tambahan dari jumlah itu seramai 269 majikan telah menaikkan gaji yang ditetapkan.
"Berdasarkan hasil penilaian projek rintis Dasar Gaji Progresif yang telah dilaksanakan pada Jun sehingga Ogos 2024, selepas kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Dasar Gaji Progresif, kerajaan memulakan dengan projek rintis terlebih dahulu iaitu Jun hingga Ogos 2024 dan berikut adalah keputusannya.
"Seramai 756 daripada 1000 majikan yang disasarkan telah memohon untuk menyertai projek rintis DGP. Daripada jumlah tersebut 359 majikan telah pun menaikkan gaji seramai 3,710 pekerja mengikut garis panduan yang ditetapkan", katanya di Dewan Negara.
Tambahnya, angka itu dijangka terus bertambah setiap bulan apabila majikan memenuhi syarat-syarat bagi memperoleh insentif kepada pekerja masing-masing.
Sebanyak RM200 juta diperuntukkan dalam Belanjawan 2025 bagi pelaksanaan penuh DGP dan dijangka memberi manfaat kepada 50,000 pekerja tahun ini.
Program ini telah dilaksanakan secara menyeluruh sejak Januari lalu, meliputi semua sektor kecuali pentadbiran awam, pertahanan dan aktiviti badan luar wilayah.