KUALA LUMPUR, 20 Mac - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim masih mengekalkan dasar eksport tenaga diperbaharui (RE) iaitu tidak mengeksport ke luar negara.
Bagaimanapun, dasar itu diteliti berikutan permintaan beberapa negeri seperti Sarawak untuk mengeksport RE, kata Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad di sini.
"Pihak kerajaan meneliti kerana ada beberapa permintaan misalnya dari negeri Sarawak untuk mengeskport, jadi kita mahu kita hendak melihat kerangka keseluruhan dan baru-baru ini kita juga sedia maklum negara Kemboja dan Indonesia ada menandatangani samada MOU atau perjanjian dengan Singapura untuk mengeskpot RE," kata Nik Nazmi menjawab pertanyaan ahli parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Tambahnya lagi, sekiranya kerajaan mengubah dasar tersebut ia pasti akan tertakluk kepada terma yang ditetapkan Malaysia.
(Nik Nazmi dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat)
Pada masa sama, dengan pengeksportan RE, industri RE negara akan berkembang lebih pesat atas permintaan luar.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata Model Baharu Pembangunan Belia (MBPB) 2030 yang akan dilancarkan tahun ini akan memberi penekanan kepada permasalahan belia seperti pengangguran, ekonomi, kesihatan mental dan juga jurang digital.
Justeru, bagi menjayakan usaha ini, Kementerian Belia dan Sukan akan membuat penyelarasan dan kerjasama rentas kementerian.
"Bagi tahun 2023 KBS akan melaksanakan sebanyak 125 aktiviti yang akan digerakkan bersama rakan-rakan strategik seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri, melalui Jabatan Penjara Malaysia, Kementeria Kemajuan Desa dan Wilayah, melalui perlaksanaan program 'social entreprenuership for rural youth', kem bina sejahtera, program belia mencegah ekstrimisme, projek reben kuning kebangsaan dan inisiatif intervensi dari belia utk belia Y2Y," kata Adam Adli, di sini.
Tambah beliau kesemua program ini akan menyasarkan penyertaan belia hampir 30,000 orang.
Kerjasama rentas kementerian ini berpandukan Dasar Belia Malaysia yang mengetengahkan konsep rentas pelaksanan dengan memberi penekanan kepada pendaya upayaan kumpulan pelaksana atau pemegang taruh.
(Adam Adli ketika menjawab pertanyaan wakil Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan)