fb fb fb fb fb

Dasar baharu perlu diperkenal, teroka potensi ekonomi Sabah, Sarawak

Foto BERNAMA

KOTA KINABALU, 25 November- Kerajaan perlu memperkenal dasar baharu yang memberi tumpuan kepada potensi pembangunan ekonomi serta keusahawanan di Sabah dan Sarawak.

Hasrat itu boleh direalisasikan menerusi istilah 'Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara'.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick ketika mencadangkan perkara itu berkata dasar tersebut perlu dibangunkan sebagai hala tuju baharu memandangkan kedua-dua negeri itu mempunyai pelbagai sumber dan aset yang berpotensi.

Tambah Datuk Ewon, Sabah mempunyai pelbagai sektor yang berpotensi untuk dibangunkan termasuk aspek pertanian pintar.

''Semua ini memerlukan tumpuan baharu, fokus tambahan dalam pembangunan ekonomi negara. Oleh sebab itu, saya gunakan istilah 'Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara' kita. Lihat Sabah, Sarawak sebagai pusat pembangunan ekonomi yang baharu," kata Ewon kepada pemberita selepas merasmikan Karnival UDA 2023 @ Sabah.

Beliau berkata wawasan dan dasar baharu itu perlu selaras dengan semangat kebersamaan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM