fb fb fb fb fb

Dasar Air Negara dilaksana selepas sesi libat urus dengan kerajaan negeri - PM

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 31 Oktober- Sesi libat urus bersama kerajaan negeri akan dilaksanakan sebelum Dasar Air Negara dimuktamadkan sebagai usaha kerajaan dalam terus memperkasa pengurusan air negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pusat Teknikal Empangan dan Infrastruktur Air (PTE) akan diselaras bagi mengurangkan risiko bencana berkaitan kegagalan empangan yang memberi ancaman kepada rakyat.

Ia dengan menempatkan pegawai berpengalaman serta pakar untuk melaksanakan pengawasan dan pemeriksaan daripada aspek keselamatan, selain teknikal empangan secara berpusat.

"Kerajaan juga mengambil perhatian serius terhadap isu pencemaran air dan saya telah mengarahkan semua jabatan dan agensi di peringkat Persekutuan untuk memantau serta mengambil tindakan sewajarnya dengan kerjasama kerajaan kegeri berdasarkan Laporan Status Kualiti Air Sungai Negara.

"Saya singgung (sentuh) akan keperluan kita untuk mengimbangi ketersediaan serta keperluan air negara dengan menguruskan sumber air dengan lebih efektif berdasarkan prinsip tatakelola yang terbaik supaya ia boleh digunakan secara optimum bagi memenuhi keperluan rakyat," jelas Anwar menerusi Facebooknya.

Anwar telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Air Negara Ke-5 (MAN 5) sebagai platform penting antara Kerajaan Persekutuan dan negeri yang bertanggungjawab menetapkan dasar, hala tuju dan pendekatan berhubung pengurusan dan pembangunan air negara.

SITI AISHAH BINTI MD ISA