
SINTOK, 13 April – Program Dapur Siswa MADANI@UUM menjadi langkah signifikan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa secara lebih terancang, sistematik dan efisien.
- Memperkukuh agenda kebajikan mahasiswa secara lebih terancang, sistematik dan efisien.
- Menyediakan akses makanan, mengurangkan beban kos sara hidup dan menawarkan peluang On Campus Job untuk kemandirian pelajar.
- Memperkenalkan teknologi makanan retort sebagai inovasi makanan dalam institusi pengajian tinggi awam.
Ia juga merupakan satu anjakan progresif dalam pendekatan kebajikan mahasiswa, yang bukan sahaja memenuhi keperluan harian, malah memperkukuh daya tahan ekonomi dan kesejahteraan pelajar secara menyeluruh.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal berkata, komitmen universiti adalah jelas dalam memastikan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan, sekali gus mewujudkan ekosistem pembelajaran yang kondusif dan selesa.
Justeru mahasiswa seharusnya mampu memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran apabila aspek kebajikan, khususnya berkaitan kos sara hidup, ditangani dengan baik.
“Dapur Siswa MADANI@UUM ini merupakan satu ekosistem yang bukan sahaja memberi kemudahan kepada pelajar untuk akses kepada makanan dan juga mengurangkan kebergantungan kos sara hidup yang makin tinggi, tetapi juga adalah melihat kepada bagaimana ia memberi pulangan kepada mahasiswa untuk bekerja di kampus melalui inisiatif On Campus Job.
“Kebajikan mahasiswa tidak perlu dilihat dari aspek kos semata-mata tetapi perlu juga dilihat bagaimana ia mampu menjadi pelaburan dalam jangka masa panjang untuk kita lahirkan graduan yang lebih berdaya tahan apabila mampu untuk berdikari dan juga menjana pendapatan sendiri melalui peluang-peluang yang disediakan di UUM…” katanya dalam satu kenyataan.
Dapur Siswa MADANI@UUM yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Azlinda Azman pada Sabtu lalu menerima peruntukan berjumlah RM1.2 juta daripada KPT.
Ia mencerminkan komitmen berterusan kementerian sebagai pemangkin kepada agenda kebajikan mahasiswa di institusi pengajian tinggi.
Dapur Siswa MADANI@UUM turut memperkenalkan penggunaan teknologi makanan retort, yang merupakan antara yang pertama dilaksanakan dalam kalangan universiti awam di Malaysia.