SHAH ALAM, 16 Mac – DAP menegaskan komitmennya untuk terus mendukung kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) kembali membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke berkata pendirian itu membuktikan DAP kekal sebagai rakan seperjuangan dalam Pakatan Harapan.
Menurutnya, kepimpinan Datuk Seri Anwar telah membawa Malaysia ke landasan yang betul, khususnya dalam aspek kestabilan politik dan perkembangan ekonomi negara.
“Dalam tempoh 28 bulan ini, Malaysia telah kembali stabil secara politik. Kerajaan Madani semakin kukuh dan pelbagai perancangan boleh dilaksanakan. Walaupun terdapat pelbagai cabaran serta isu, kita akan pastikan kesetiaan dan perpaduan ini terus diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam, hari ini.
Loke turut menyifatkan Datuk Seri Anwar sebagai seorang pemimpin demokrat yang sentiasa mempertimbangkan setiap isu yang dibangkitkan secara adil dan teliti.