KUALA LUMPUR, 2 Disember - DAP Sabah memutuskan untuk tidak mengambil sebarang jawatan dalam kerajaan Sabah.
Keputusan itu diambil Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Beliau berkata walaupun tidak berada dalam struktur kerajaan negeri, pemimpin DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat di negeri itu dan berusaha mengembalikan keyakinan rakyat.
"Pucuk pimpinan parti akan mengambil iktibar daripada keputusan ini dan menilai semula segala kelemahan kami serta berusaha untuk memenangi semula sokongan rakyat pada pilihan raya akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata DAP akan mengumpulkan semua maklum balas yang diterima dan berusaha bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempercepat agenda reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang.
Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 yang berlangsung pada Sabtu lepas menyaksikan DAP Sabah gagal meraih sebarang kerusi daripada lapan kerusi yang ditandingi parti itu.
Lapan kerusi yang ditandingi DAP Sabah termasuk enam DUN yang disandang parti berkenaan, iaitu Luyang, Kapayan, Likas, Tanjong Papat, Elopura dan Sri Tanjong, manakala dua lagi ialah kerusi baharu melibatkan Tanjung Aru dan Kemabong.