fb fb fb fb fb

Dana RM3.37 juta bukti kerajaan sokong inisiatif Kampung Digital Melaka

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Januari- Pembiayaan dana sebanyak RM3.37 juta bagi pembangunan Kampung Digital Melaka (KDM) membuktikan komitmen kerajaan menyokong penuh usaha transformasi 623 kampung tradisional di negeri itu.

Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pihaknya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) terbuka membantu kerajaan negeri sekali gus merealisasikan visi negara memastikan setiap kediaman mempunyai alamat lengkap dan seragam.

Inisiatif ini juga memodenkan komuniti kampung khususnya dalam mengatasi isu ketiadaan alamat rumah yang jelas dan berstruktur.

"KDM yang mula diperkenal Kerajaan Negeri Melaka awal tahun lepas, akan dilaksana secara menyeluruh, Januari ini.

"Kaedah baharu tersebut akan memberi manfaat kepada penduduk kampung dalam aspek pengurusan, penghantaran dan perkhidmatan lain yang berkaitan dengan alamat rumah, manakala kelebihan inisiatif Kampung Digital pula dapat merekodkan jumlah rumah sebenar di Melaka termasuk membabitkan sempadan antara kampung.

"KDM juga adalah yang pertama di Malaysia dengan penggunaan kod QR untuk memodenkan sistem alamat rumah, selain meningkatkan kualiti akses data dan perkhidmatan rakyat.

“Projek ini telah menerima pengiktirafan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan cap dagangan logo, menjadikannya model kampung digital di seluruh negara,” jelasnya.

Fahmi turut memaklumkan bahawa menerusi inisiatif itu, MCMC akan bekerjasama dalam aspek sokongan teknikal, selain perkongsian maklumat dan data untuk pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS).

“Dengan adanya NAS kelak, ia akan menjadi sistem tunggal yang berautoriti, seragam dan berpusat untuk mengurus lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara melalui kerjasama antara pelbagai pihak.

“Kerjasama antara MCMC dan Kerajaan Negeri Melaka melalui inisiatif ini amat penting dan diharapkan dapat terus diperkukuh. Projek ini bukan sahaja memberi impak positif kepada Negeri Melaka, malah dijangka menjadi model kepada negeri-negeri lain dalam membangunkan ekosistem digital yang lebih inklusif dan berdaya saing,” katanya pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Kampung Digital Melaka antara MCMC bersama Kerajaan Negeri Melaka di ibu negara.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

ROSLINA BINTI DIN