fb fb fb fb fb

Dana penubuhan Majlis Media Malaysia dalam proses penyelarasan

Datuk Fahmi Fadzil/ Foto RTM

PUTRAJAYA, 2 Julai- Kementerian Komunikasi kini sedang menyelaras usaha bagi memastikan peruntukan dana bagi penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) dapat disediakan dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebagai langkah susulan, satu pertemuan turut dirancang bersama 12 anggota Lembaga Pengasas MMM bagi membincangkan perkara berkaitan pelaksanaan majlis tersebut.

“Saya telah mengadakan satu pertemuan dalam talian dengan pihak Lembaga Pengasas (MMM) dan kita akan susuli dengan pertemuan fizikal.

“Memandangkan ada dalam kalangan wakil (MMM) yang bukan semua berada di Lembah Klang maka kita akan cari masa yang bersesuaian untuk menjemput semua,” katanya dalam sidang media di sini hari ini. 

Sebelum ini, Datuk Fahmi memaklumkan MMM terdiri daripada 12 individu yang mewakili empat kategori utama iaitu kategori syarikat media, kategori persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas serta kategori ahli
bukan media.

Akta MMM telah mula berkuat kuasa pada 14 Jun 2025, bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA), sebagai langkah simbolik ke arah pembaharuan landskap media negara.

Majlis itu akan berfungsi sebagai badan kawal selia kendiri, bertanggungjawab memastikan kebebasan media terus terpelihara, di samping memantau pematuhan terhadap etika kewartawanan yang profesional.

Penubuhannya juga diharap mampu memperkukuh keyakinan terhadap industri media di Malaysia secara menyeluruh.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM