fb fb fb fb fb

Dana Kekayaan Berdaulat tidak akan disentuh demi masa depan Sarawak

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg/FOTO BERNAMA

KUCHING, 29 Oktober - Hasil pelaburan sebanyak RM8 bilion dalam Dana Kekayaan Berdaulat tidak akan disentuh selama 20 tahun untuk masa depan Sarawak, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau yakin dengan sejumlah wang yang disimpan di institusi kewangan itu dana tersebut dapat berkembang secara mampan sekali gus menjadikan ekonomi negeri Sarawak bertambah mantap.

Bagaimanapun, dana tersebut boleh digunakan sekiranya Sarawak berdepan perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Melainkan kita menghadapi krisis peperangan dan juga krisis yang memerlukan dana, tetapi dalam keadaan biasa, kita tidak sentuh dana itu bagi tempoh 20 tahun, pertumbuhannya akan terus bertambah kukuh, seperti Dana Kekayaan Berdaulat Norway.

“Sebab itu kita ada ahli daripada pakar antarabangsa yang pernah menguruskan dana seumpama itu, seorang daripada Eropah dan seorang lagi dari Amerika,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama Ahli Lembaga Penjana Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak yang diketuai pengerusinya Tan Sri Sulong Matjeraie di Pusat Konvensyen Borneo di sini hari ini.

Menurut Premier Sarawak lagi, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada barisan ahli lembaga untuk mentadbir urus dana tersebut yang turut terdiri daripada jawatankuasa yang menilai risiko sebelum membuat pelaburan sesuai dengan keadaan pasaran semasa.

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari turut mendedahkan bahawa Sarawak akan menjadi ahli London Sovereign Fund Forum yang merupakan sebuah institusi antarabangsa yang memantau dana-dana berdaulat.

"Kita sebahagian daripada ahli, termasuklah Singapura juga telah menjadi ahli forum tersebut..bermakna apa yang kita buat sekarang ialah Insya Allah ekonomi Sarawak akan lebih mantap dan kita akan mempunyai pendapatan yang mungkin berlebihan.. kita laburkan dan simpan dalam institusi kewangan dana yang kukuh untuk masa depan anak Sarawak," tambahnya.

Dana kekayaan berasaskan ‘Prinsip Santiago’ itu diuruskan secara profesional dan laporan tahunan aktiviti pula akan dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

GRACE AISYAH KEDAYAN