KUALA LUMPUR, 22 Januari- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedia disiasat atas dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa, sepanjang menjawat portfolio berkenaan selama lebih 20 tahun.
Dalam sidang media khas yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, bekas pemimpin nombor satu negara itu menafikan beliau kebal daripada sebarang siasatan.
Namun, beliau menuntut supaya setiap tuduhan dan dakwaan yang dikemukakan; berasaskan bukti yang sahih serta boleh dipercayai.
"Saya nak bagitau, saya ni tiada siapa pun buat tuduhan. Kalau ada tuduhan, pasti ada siasatan. Kalau ada, bagitahu saya, supaya saya boleh bersedia untuk membela diri di mahkamah.
"Saya bersedia untuk disiasat, akaun saya... kalau nak lihat pun boleh. Akaun mana pun boleh bagitahu..apakah Lembaga Hasil Dalam Negeri biasa tuduh saya tidak bayar hasil, semuanya boleh diakses oleh kerajaan.
"Kerajaan juga boleh tanya Petronas, kononnya saya buat duit di sana...sila siasat kerana perkara itu telah disebut,"katanya.