fb fb fb fb fb

Dakwaan palsu pembukaan kasino, semua pihak dikaitkan dalam laporan perlu ambil tindakan - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak yang dikaitkan dalam laporan pembukaan kasino di Forest City, Johor oleh sebuah agensi berita asing baru-baru ini mengambil tindakan sewajarnya terhadap agensi berita berkenaan / Foto Bernama

SEPANG, 26 April - Semua pihak yang dikaitkan dalam laporan pembukaan kasino di Forest City, Johor oleh sebuah agensi berita asing baru-baru ini perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap agensi berita berkenaan.

Gesaan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Mereka yang disentuh perlu mengambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Muktamar Islam Malaysia Airlines (MAB), di sini.

Beliau berkata demikian semasa ditanya sama ada kerajaan akan meminta agensi berita berkenaan menarik balik laporan mereka atau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi berita yang berpangkalan di New York itu.

Anwar pada Khamis menafikan laporan berita itu, yang mengatakan bahawa kerajaan sedang menimbangkan untuk mengeluarkan lesen kasino kedua bagi Forest City selepas Genting Highlands dan Anwar menyifatkan laporan itu sebagai tidak betul dan bohong.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri itu.

Beliau berkata, berita berkenaan hanyalah khabar angin yang dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat mencemarkan imej Forest City dan negeri Johor secara keseluruhannya.

"Kerajaan Johor tidak pernah menerima jemputan untuk sebarang perbincangan berhubung perkara berkenaan, apatah lagi terlibat atau dirujuk mengenainya. Menerusi penegasan itu, kerajaan negeri berharap isu terbabit tidak lagi dipanjang dan dimomokkan," katanya menerusi kenyataan.

Tegas Onn Hafiz lagi, khabar angin berkenaan boleh menjejaskan kerukunan, nama baik Johor dan negara serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN