JOHOR BAHRU, 6 Disember- Pusat Jagaan Tenang Bersama Qadar (TBQ Amal) menarik balik laporan polis berkaitan isu murid bawah jagaannya yang didakwa dikasari guru di sebuah sekolah di daerah sini.
Pengasas TBQ Amal, Herman Sudil berkata keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan kebaikan secara menyeluruh untuk semua pihak hasil daripada pertemuan yang dilakukan.
Beliau berkata pertemuan semalam yang berlangsung di sebuah balai polis bersama guru besar serta guru terlibat dan disusuli hari ini melibatkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan serta pihak sekolah.
"TBQ Amal juga memohon maaf atas salah faham. Terima kasih kepada semua pihak atas sokongan keprihatinan dalam memastikan kebajikan anak-anak terus terjaga," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Herman, TBQ Amal adalah sebuah rumah perlindungan kanak kanak yang diiktiraf yang sentiasa mengutamakan kebajikan anak-anak bawah jagaannya.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Raub Selamat dalam kenyataan hari ini mengesahkan polis menerima laporan pada Selasa mengenai kes seorang murid berusia 10 tahun yang didakwa dikasari oleh guru sekolahnya.
BERITA BERKAITAN