fb fb fb fb fb

Dakwaan Muhyiddin ada 115 SD tidak benar - Anwar

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Ogos- Dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yasin bahawa beliau mempunyai 115 Akuan Bersumpah (SD) adalah tidak benar.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ia berikutan terdapat pertindihan apabila beberapa Ahli Parlimen menandatangani SD sehingga dua atau tiga kali.

Sekali gus menyebabkan Muhyiddin tiada sokongan SD yang mencukupi untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022.

"Bila kedudukan tidak jelas, Muhyiddin kata ada 115, Anwar kata ada 112, ada orang tandatangan sekali, dua kali, tiga kali. Ada parti berbeza pendapat. 

"Oleh itu, Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) terpaksa buka semula dan semak untuk yakinkan diri Tuanku.

"Sebab itu dalam Perlembagaan Persekutuan, dikatakan mengikut pandangan Tuanku setelah melihat, kemudian Tuanku panggil sidang (Majlis) Raja-Raja untuk bincang.

"Setakat saya faham, pandangan Raja-Raja dan peguam negara pada masa itu yang dilantik oleh Muhyiddin mengatakan jumlah itu dipertikai, maka diserah kepada budi bicara Agong," katanya kepada pemberita selepas makan tengah hari di Warung Gertak Merah, Kampung Sungai Penchala di sini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata Majlis Raja-Raja dan Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Idrus Harun turut mempertikai jumlah SD berkenaan.

Baru-baru ini ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri, Muhyiddin telah mendakwa beliau memiliki 115 SD selepas PRU15 dan menyatakan bahawa jumlah itu mencukupi untuk beliau menjadi Perdana Menteri.

Rabu lalu juga, beliau menyerahkan beberapa dokumen termasuk SD berkenaan kepada polis semasa memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R (raja, agama dan kaum).

Semalam, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut berkata daripada 115 SD yang didakwa dimiliki Muhyiddin, 10 daripada Ahli Parlimen telah menandatangani dua SD, iaitu satu yang menyokong PN dan satu lagi menyokong BN.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM