KUALA LUMPUR, 29 Januari – Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) menolak dakwaan bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang menyifatkan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) hanya bergantung kepada helaian Excel tanpa memahami realiti sektor kesihatan.
Presidennya, Datuk Awang Alik Jeman berkata tuduhan tersebut, yang dikaitkan dengan pelaksanaan sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB), adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan proses sebenar penggubalan dasar kerajaan.
"PTD sentiasa bertindak secara profesional berasaskan data serta mengambil kira realiti operasi dalam merangka dasar.
"Kerjasama antara pegawai perubatan dan PTD amat penting dalam memastikan kejayaan sesuatu dasar tanpa menjejaskan perkhidmatan awam," katanya menerusi kenyataan.
Beliau turut menegaskan bahawa semua pihak perlu memahami proses perumusan dasar dengan lebih mendalam sebelum membuat kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.
Pada Selasa, dalam audio siar 'Keluar Sekejap', Khairy mengaitkan kegagalan pelaksanaan WBB dengan jurang pemahaman birokrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap amalan perubatan.
Khairy dilaporkan mengkritik proses membuat keputusan, sambil menegaskan bahawa ia dilaksanakan oleh penjawat awam yang tidak mempunyai pemahaman praktikal mengenai operasi hospital.
Mengulas lanjut, Awang berkata pelaksanaan WBB bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya melalui sesi libat urus yang menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pegawai perubatan, pentadbir hospital, dan kesatuan pekerja kesihatan.
Beliau berkata pelaksanaan dasar itu turut dipandu oleh kajian mendalam serta amalan terbaik antarabangsa yang mengambil kira kesejahteraan pegawai perubatan tanpa menjejaskan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan.
“Sebagai penjawat awam yang terlatih dalam pembangunan dasar, PTD bertanggungjawab untuk memastikan keputusan dibuat berasaskan bukti dan kajian menyeluruh.
“Hakikatnya, setiap pelaksanaan dasar baharu pasti menghadapi cabaran serta ruang penambahbaikan, tetapi adalah tidak adil untuk menuding jari kepada PTD semata-mata tanpa melihat keseluruhan proses dan faktor yang mempengaruhi pelaksanaan sesuatu dasar,” katanya.
Menurut Awang, KKM sebelum ini memaklumkan WBB merupakan dasar yang dirangka oleh doktor untuk doktor, dan bukannya ditentukan secara unilateral oleh PTD di Putrajaya.
Sehubungan itu, beliau berkata dakwaan yang menyatakan PTD tidak memahami realiti sektor kesihatan adalah tidak tepat, sebaliknya, peranan PTD adalah untuk memastikan dasar tersebut dapat dilaksanakan dengan baik dalam kerangka pentadbiran negara lebih luas.