
KUALA LUMPUR, 27 Januari –Dakwaan bahawa jurutera tempatan khususnya jurutera pakar tidak diiktiraf sebagai profesional adalah tidak tepat, mengelirukan dan sama sekali tidak berasas.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) merupakan satu-satunya badan berkanun yang ditubuhkan bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138) bagi mengawal selia, mendaftar serta mengiktiraf jurutera profesional di negara ini.
Menurutnya, dakwaan kononnya jurutera pakar tidak diiktiraf kerana ketiadaan modul kepakaran tersusun atau agensi pengiktirafan khusus adalah tidak benar kerana laluan ke arah pengiktirafan profesional bawah LJM adalah jelas dan tersusun.
“LJM telah lama melaksanakan penilaian berasaskan hasil merangkumi lebih 30 disiplin kejuruteraan, sekali gus memastikan jurutera tempatan diiktiraf setara dengan piawaian global termasuk dalam bidang kejuruteraan baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Perjumpaan LJM Bersama Institusi dan Persatuan Kejuruteraan Malaysia 2026 serta pelancaran Pelan Strategik LJM 2026–2030, di sini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Alexander Nanta menegaskan bahawa pendaftaran dengan LJM merupakan satu kewajipan mandatori dan tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pengamal profesion kejuruteraan.
Beliau berkata, setiap jurutera yang terlibat dalam pembangunan negara wajib berdaftar dengan LJM dan pendaftaran itu perlu dijadikan syarat utama pengambilan kerja dalam bidang kejuruteraan sama ada di sektor awam mahupun swasta.
“LJM adalah satu-satunya badan berkanun yang mengiktiraf jurutera profesional termasuk jurutera pakar, selain mengakreditasi program kejuruteraan di peringkat diploma dan ijazah bagi memastikan kualiti profesion ini terjamin sejak peringkat awal,” katanya.
Menurut beliau, hingga kini lebih 290,000 pengamal kejuruteraan telah didaftarkan dengan LJM dalam pelbagai kategori, namun mengakui masih terdapat pengamal yang belum berdaftar.
Selain itu, Nanta berkata kerajaan kini sedang memperhalusi pindaan terhadap Akta Pendaftaran Jurutera 1967 (Akta 138) bagi memperkukuh penguatkuasaan LJM.
“Pindaan ini bertujuan memperkukuh kuasa kawal selia LJM bagi memastikan pematuhan dan melindungi kepentingan awam. Saya berharap pindaan ini dapat diluluskan dalam masa terdekat,” kata beliau lagi.
Mengenai pelancaran Pelan Strategik LJM 2026–2030, beliau berkata pelan itu menetapkan hala tuju kejuruteraan negara melalui empat teras utama iaitu bakat, tadbir urus, pengiktirafan dan inovasi.
Ia selaras dengan Pelan Strategik Organisasi Kementerian Kerja Raya 2026–2030 dalam usaha meningkatkan keupayaan serta daya saing industri melalui pembangunan modal insan.