fb fb fb fb fb

Daerah Sik 2035 bakal jadi kluster daerah ilmu - MB Kedah

SIK, 6 Mac- Pelan Pembangunan Negeri Kedah 2035 telah menyasarkan Daerah Sik untuk menjadi sebuah kluster daerah ilmu.

Ia berikutan daerah Sik merupakan antara daerah yang berpotensi menyediakan pusat pengajian ilmu terbanyak di negeri itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata bagi menyokong matlamat itu, kerajaan negeri berhasrat untuk membangunkan lebih banyak institusi pendidikan seperti sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Tambah beliau, institusi pengajian di pondok-pondok yang menyediakan ilmu agama juga sudah ditambah baik dengan menyediakan fasiliti yang lebih moden.

Menurutnya, para pengajar di institusi keagamaan di daerah itu juga mempunyai kredibiliti yang baik selain banyak di antara mereka sudah mendapat lulusan dari luar negara.

"Rancangan kita Kedah 2035, Sik ini termasuk dalam kluster daerah ilmu. Kebetulan pula daerah Sik ini tempat orang mengaji. Ada banyak pondok-pondok pengajian agama di sini dan pembangunan institusi pendidikan pun berjalan dengan rancak."

"Kita ada IKM di sini, akan dibangunkan juga MRSM Ulul Albab di Jeneri sedang dalam proses. Saya fikir salah satu kaedah untuk membangunkan lagi Sik ini sesuai dengan sebagai kluster daerah ilmu, kita kena bangunkan lebih banyak institusi-institusi," kata beliau semasa ditemuramah dalam program Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran langsung, di sini.


(Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam temu bual bersama RTM menerusi program Selamat Pagi Malaysia)

Media Baharu