fb fb fb fb fb

Dadah guna logo durian bernilai RM5 juta dirampas

Ribuan Abdullah (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas

NILAI, 21 Mei- Sindiket penyeludupan dadah bernilai RM5 juta berjaya ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Rampasan tersebut dilakukan menerusi satu operasi khas di Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan berhampiran susur keluar Sungai Buaya, Selangor kira-kira pukul 4.40 petang, 14 Mei lalu .

Menurut Pemangku  Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Ribuan Abdullah berkata, hasil pemeriksaan sebuah kenderaan jenis Proton X50 menemukan dadah seberat 154 kilogram disyaki jenis Methamphetamine di dalam empat buah bagasi yang mengandungi bungkusan berlogo durian.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini telah mengedar dadah yang diperolehi dari utara untuk dibawa ke Lembah Klang untuk dipasarkan melalui jalan darat.

"Pergerakan sindiket ini dikawal oleh beberapa kenderaan lain selaku 'tonto' untuk memastikan pergerakan, perjalanannya selamat dan terkawal,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi sidang media yang diadakan di Jabatan Kastam Malaysia Ibu Pejabat Cawangan Narkotik, Nilai.

Menerusi operasi tersebut, suspek utama yang merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 45 tahun ditahan untuk siasatan lanjut.

Susulan daripada penahan suspek tersebut,  tiga  orang lelaki warga tempatan masing-masing berusia lingkungan 24, 29  serta 34 tahun turut ditahan di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur dan Taman Perindustrian Belmas Johan, Rawang, Selangor kerana disyaki bersubahat.

Kes disiasat bawah Sekysen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE