fb fb fb fb fb

Dadah: 75 peratus pelatih PUSPEN kekal pulih

Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Siti Mariam Mursidan/Foto RTM

RAUB, 20 Jun- Kira-kira 75 peratus pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara berjaya kekal pulih daripada ketagihan meskipun selepas keluar dari pusat tersebut.

Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Siti Mariam Mursidan berkata, jumlah terbabit diperoleh berdasarkan data yang dikumpul agensi berkenaan.

"Setakat ini kami data yang AADK berjaya kumpulkan iaitu lebih 75 peratus dapat mengekalkan pemulihan maksudnya dalam 25 peratus yang masih berulang dan dari masa ke semasa pun kita nak menurunkan kadar itu daripada menjadi lebih rendah.

"Sebab pada kita, pemulihan ramai orang cakap mustahil susah.Tapi sebenarnya tak mustahil ramai di luar sana yang berjaya pulih", katanya yang ditemui selepas program Ibadah Korban 2024 yang disempurnakan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah di Puspen, Raub.

Sebanyak 37 ekor lembu dan seekor kambing dikorbankan di 24 buah Puspen seluruh negara, termasuk lima lembu dikorbankan di Puspen Raub.

Sementara itu, KDN turut menyumbangkan sebanyak RM10,000 sebagai wang zakat untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan, termasuk klien AADK dan komuniti setempat.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD