KUALA LUMPUR, 8 Jun- Majlis Menteri-Menteri Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) pada Sabtu menggesa gencatan senjata segera, kekal dan tanpa syarat bagi menghentikan serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Dalam deklarasi bersama selepas mesyuarat luar biasa Majlis Menteri Luar D-8 yang diadakan di Istanbul, negara-negara D-8 mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap warga Palestin di Semenanjung Gaza serta di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.
Deklarasi itu menyatakan solidariti negara D-8 dalam menghadapi malapetaka kemanusiaan yang ditimpakan ke atas Semenanjung Gaza dan rakyatnya akibat serangan berterusan Israel selama lebih lapan bulan tanpa menghormati nilai moral dan kemanusiaan yang paling asas.
Negara D-8 juga menyeru semua negara memastikan Israel mematuhi dengan tegas langkah-langkah sementara yang diarahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) – untuk segera menghentikan serangan ketenteraannya dan sebarang tindakan lain di Rafah.
Ia juga menyeru Israel untuk berundur dari Rafah dan menyediakan keadaan untuk akses kemanusiaan yang selamat, segera dan tanpa halangan melalui lintasan Rafah, serta penyediaan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan di seluruh Semenanjung Gaza.
Deklarasi bersama itu juga mengesahkan sokongan teguh negara anggota D-8 kepada perjuangan rakyat Palestin untuk merealisasikan hak mereka yang tidak boleh dinafikan, keahlian penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan semua resolusi yang berkaitan dengan Perkara Palestin dalam forum antarabangsa.
Selain itu, deklarasi bersama menyeru pelaksanaan segera Resolusi PBB yang berkaitan, terutamanya Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2728 (2024) dan Resolusi UNSC 2720 (2023).
Pada masa sama, negara D-8 menyeru semua negara untuk menyokong, campur tangan dan/atau menyumbang kepada proses undang-undang di hadapan mekanisme/tribunal undang-undang antarabangsa untuk memastikan akauntabiliti terhadap pelanggaran serius Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa dan Undang-undang Antarabangsa yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.
Selain itu, negara D-8 juga menyokong semua usaha ke arah memperkasakan ekonomi Palestin serta membina semula Gaza selepas pengunduran tentera Israel.
Beribu pejabat di Istanbul, D-8 terdiri daripada Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.- BERNAMA