Cuti tambahan Aidilfitri: Pesakit akan diberi tarikh janji temu baharu

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 Mac – Pesakit yang mempunyai janji temu di klinik pakar atau pusat rawatan harian di fasiliti kesihatan kerajaan pada hari cuti tambahan sempena Aidilfitri akan diberikan tarikh baharu oleh pihak hospital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Semua hospital Kementerian Kesihatan kekal beroperasi 24 jam sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri.
  • Petugas kesihatan on-call akan terus menjalankan tugas di hospital kerajaan seperti dijadualkan.
  • Pemantauan situasi kesihatan awam dan kecemasan dijalankan menerusi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis negeri dan kebangsaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pesakit akan dihubungi oleh pihak hospital bagi memaklumkan perubahan tarikh supaya rawatan dan pemeriksaan mereka dapat diteruskan tanpa menjejaskan perkhidmatan fasiliti kesihatan kerajaan.

“Bagi pesakit yang kehadiran yang kehadiran ke klinik pakar atau pusat rawatan harian yang ditemu janji jatuh pada hari cuti umum tersebut pesakit akan dihubungi dan diberi tarikh temu janji baru akan diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Kembara Beraya Bersama Cik Era dan Pelancaran Cik Era di sini hari ini.

Kesemua hospital bawah Kementerian Kesihatan (KKM) kekal beroperasi seperti biasa iaitu 24 jam sehari sepanjang cuti umum Hari Raya Aidilfitri.

Perkara itu bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terjejas dan perkara itu selaras dengan amalan yang dilaksanakan pada setiap musim cuti umum.

Petugas kesihatan yang dijadualkan untuk bertugas secara on-call juga akan terus menjalankan tugas mereka seperti biasa di hospital kerajaan.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan bahawa pemantauan terhadap situasi kesihatan awam serta sebarang kejadian yang berpotensi memberi kesan kepada kesihatan masyarakat akan terus dijalankan secara berterusan.

Ia akan dilaksanakan melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) di peringkat negeri dan kebangsaan bagi memastikan sebarang situasi kecemasan kesihatan dapat ditangani dengan segera.