fb fb fb fb fb

Cukai perkhidmatan lapan peratus dijangka jana tambahan hasil RM3 bilion - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Mac - Kerajaan menjangkakan akan mengutip tambahan hasil berjumlah RM3 bilion menerusi peluasan skop dan perubahan kadar cukai perkhidmatan baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mengambil pendekatan progresif dengan menumpukan penambahan hasil cukai daripada mereka yang berpendapatan tinggi.

Mengakui berlaku kenaikan inflasi, namun Anwar berkata ia tidak begitu ketara apabila hanya mencatatkan 0.2 peratus

"Kita juga tidak menafikan ada juga kesan tetapi setakat ini mengikut jabatan, statistik kesannya sekitar 0.2 peratus. Skop kenaikan cukai perkhidmatan adalah kecil iaitu 4.1 peratus dan banyak pengecualiaan yang diberikan," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, di sini.

Beliau menjawab soalan yang dikemukan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan kenaikan inflasi 0.2 peratus masih rendah dan terkawal.

Beliau berkata, bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi bersasar, selain menambah nilai Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

"Saya setuju memang ada, cuma kalau sekitar 0.2 peratus ia masih terkawal, masih rendah sebab itu kita cuba bantu dengan menambah STR dan beberapa tambahan kerana faham ada kesan dengan mengurangkan tekanan dengan menambah STR dia telah mencecah jumlah bantuan kerajaan RM10 bilion tahun ini," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN