fb fb fb fb fb

Cukai 10 % hanya melibatkan produk import

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Disember- Cukai 10 peratus bagi pembelian barangan secara dalam talian bernilai RM500 dan ke bawah hanya terpakai bagi produk import sahaja.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Kementerian akan berusaha memberi penerangan lebih jelas berhubung perkara tersebut agar tidak menimbulkan salah faham orang ramai.

"Antara lain, ini untuk meningkatkan daya saing produk-produk tempatan dan tidak ada kesan kepada produk-produk dalam negara kita yang dibeli secara dalam talian. Jadi yang penting untuk dijelaskan, ia hanya terpakai untuk produk-produk yang diimport dari luar negara yang dijual secara dalam talian di Malaysia.

"Produk-produk yang dihasilkan dalam Malaysia tidak terkesan dengan cukai ini", katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Reuse, Educate, Nurture and Empower with Waste (R.E.N.E.W) di Dataran Sri Angkasa Jaya, di sini.

Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan cukai tersebut bermula 1 Januari tahun hadapan.

Beliau turut menasihati orang ramai agar merujuk laman rasmi Jabatan Kastam untuk mendapat maklumat lebih terperinci.

"Dari semasa ke semasa kita akan memantau untuk memastikan adakah rakyat terutama penjual dan pembeli yang laksanakan transaksi dalam talian benar-benar faham kenapa ia dilaksanakan dan apa kategori produk yang terkesan", katanya.

ROSLINA BINTI DIN