fb fb fb fb fb

CUEPACS terkilan pemimpin politik tuduh melayu dominasi perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR, 12 Februari -  Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memandang serius kenyataan yang dibuat oleh seorang pemimpin politik yang dilihat cuba mempolitikkan perkhidmatan awam apabila menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mereformasikan perkhidmatan awam yang didakwa beliau hanya didominasi oleh orang Melayu.

Menurut Presidennya, Datuk Adnan Mat, CUEPACS cukup terkilan apabila wakil rakyat tersebut telah membuat kenyataan terbuka tanpa mendapatkan sebarang maklumat yang tepat daripada kerajaan mengenai situasi sebenar dalam perkhidmatan awam. Apatah lagi beliau juga merupakan salah seorang daripada wakil rakyat daripada parti politik yang membentuk kerajaan ketika ini.


(Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat)

"Kenyataan wakil rakyat tersebut mengenai dasar berasaskan kaum dalam pengambilan dan kenaikan pangkat penjawat awam adalah satu tuduhan yang berat dan tidak berasas. CUEPACS atau mana-mana pihak dalam perkhidmatan awam sendiri tidak pernah pertikaikan sektor lain yang juga didominasikan oleh kaum tertentu. Jika wakil rakyat tersebut berniat ikhlas, beliau sepatutnya perlu membangkitkan isu ini yang turut melibatkan kepentingan rakyat secara keseluruhan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Adnan, perkhidmatan awam selama ini tidak pernah menetapkan bangsa sebagai faktor penentu dalam mengambil atau menaikkan pangkat penjawat awam seperti yang didakwa oleh wakil rakyat tersebut.

"CUEPACS ingin menegaskan bahawa pengambilan dan pelantikan kakitangan dalam sektor perkhidmatan awam dilakukan berasaskan merit dan kompetensi calon tanpa membabitkan sebarang kuota seperti yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

"SPA tidak pernah menetapkan pengambilan kakitangan perkhidmatan awam perlu menepati sebarang kuota termasuk membabitkan agama, kaum, etnik atau negeri tertentu. Sebaliknya, kebanyakan yang menyertai perkhidmatan awam adalah bergantung kepada kehendak, minat dan kecenderungan individu berkenaan sendiri," tambahnya.

Adnan berkata, permohonan adalah terbuka kepada semua bangsa dan agama. Tanpa membuat permohonan melalui SPA, bagaimana seseorang individu itu boleh menyertai perkhidmatan awam atau dilihat berminat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat.

"Sebagai seorang wakil rakyat, beliau sepatutnya memberi kesedaran kepada rakyat mengenai peluang kerjaya dalam sektor perkhidmatan awam supaya pelbagai kaum berminat atau mengetahui peluang kerjaya tersebut.

"Tidak wajar untuk menuduh perkhidmatan awam sebagai milik kaum tertentu jika anda sendiri sebagai wakil rakyat tidak bersama-sama dengan perkhidmatan awam untuk meningkatkan lagi pembangunan kerjaya dalam sektor awam ini," katanya.

Menurut beliau, ketika ini sambutan daripada kaum bukan bumiputera untuk menyertai perkhidmatan awam dilihat kurang kerana mereka berpandangan gaji rendah berbanding jika bekerja di sektor swasta atau berniaga.

"Sebelum ini ramai yang tidak berminat untuk menyertai perkhidmatan awam disebabkan faktor gaji yang rendah jika dibandingkan pekerjaan dalam bidang lain. Kebanyakan mereka yang menyertai perkhidmatan awam terutama di sektor keselamatan dan pertahanan adalah disebabkan faktor patriotik dan cintakan negara.

"Disebabkan faktor ini jugalah penjawat awam sentiasa neutral dan tidak apolitikal dalam mencurahkan bakti kepada negara dan rakyat tanpa mengambil kira bangsa seseorang itu.

"Kita tidak pernah melihat penjawat awam mengabaikan sesuatu bangsa dalam memberikan perkhidmatan bahkan penjawat awam jugalah kumpulan pertama yang berada dibarisan hadapan bagi membantu rakyat sekiranya berlaku bencana atau darurat," tambahnya lagi.

CUEPACS mengalu-alukan penyertaan semua pihak untuk memberi pandangan dan idea untuk membangunkan lagi sektor perkhidmatan awam. Bagaimanapun pandangan tersebut janganlah sampai pandangan dan idea tersebut melukakan mereka yang sedang dan telah berkhidmat untuk negara ketika ini.

Nasihat CUEPACS kepada semua pihak terutama ahli politik supaya tidak menggunakan perkhidmatan awam hanya untuk kepentingan politik masing-masing.

Sebagai penjawat awam, kami semua tetap berpegang teguh kepada konsep keneutralan dan profesionalisme serta menghormati prinsip pembahagian kuasa bagi memastikan kedaulatan undang-undang dapat dipertahan dalam menjunjung Perlembagaan Persekutuan.

Media Baharu