KOTA BHARU, 27 November- Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Dr Adnan Mat menggesa penjawat awam yang belum menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) agar membuat pilihan terbaik sebelum tempoh opsyen berakhir pada 30 November ini.
Beliau menegaskan SSPA yang bakal berkuat kuasa 1 Disember ini telah melalui kajian dan bengkel bersama CUEPACS, dan ia memberi peluang kepada penjawat awam untuk menikmati kenaikan gaji lebih baik.
Menurutnya, maklumat yang tersebar di media sosial berpotensi menimbulkan salah faham terhadap pelaksanaan skim tersebut.
"Mereka masih ada sehingga 30 haribulan untuk membuat pilihan tepat dengan memilih SSPA. Kami di CUEPACS telah membuat kajian mendalam dan mendapati tiada perkara yang merugikan dalam skim ini, sebaliknya ia bertujuan meningkatkan kebajikan penjawat awam. Jadi, saya harap mereka dapat mengambil peluang ini," katanya selepas menghadiri Perhimpunan Madani Penjawat Awam CUEPACS Negeri Kelantan Tahun 2024 di sini hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi CUEPACS Kelantan Aminuddin Awang.
Adnan turut memaklumkan, daripada kira-kira 200,000 penjawat awam yang belum menandatangani opsyen tersebut, 700 daripadanya adalah kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar memaklumkan seramai 15 peratus penjawat awam masih belum membuat keputusan terhadap opsyen SSPA walaupun tempoh selama 40 hari telah diberikan.