fb fb fb fb fb

Cubaan seludup 78 ekor kambing gagal

Dr Azman Ibrahim

KUALA TERENGGANU, 14 Disember- Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu berjaya mematahkan cubaan seludup masuk 78 ekor kambing pelbagai jenis secara haram ke negara ini.

Pengerusi jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, keterjaminan makanan dan komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, kesemua haiwan ternakan yang diseludup dari negara jiran itu bernilai lebih RM100,000.

Rampasan dibuat selepas curiga dengan sebuah lori berbungkus di sempadan Terengganu-Kelantan dan ditahan di Penarik, Setiu.

Hasil pemeriksaan mendapati haiwan ternakan diletakkan di dalam guni itu tiada sebarang dokumen dan permit pemindahan.

Azman tidak menolak kemungkinan kambing berkenaan dijual di pasaran tempatan dan Terengganu hanya dijadikan laluan transit.

"Fenomena kambing tular dan kambing harga murah berleluasa merupakan perkara yang sangat membimbangkan sebab masyarakat kita melihat harga yang murah tanpa mengambil kira asal usul kambing tersebut.

"Kambing yang diambil dari negara jiran dan melalui sempadan antarabangsa tanpa sebarang pemeriksaan kesihatan dan kuarantin. Pemeriksaan mendapati banyak organ kambing mengalami kerosakan buah pinggang, paru-paru dan hati," katanya.

Kes disiasat mengikut seksyen 36 Akta  binatang 1953.

Mengikut rekod, 12 tangkapan dibuat sepanjang tahun ini melibatkan 521 ekor kambing.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI