fb fb fb fb fb

Cubaan 13 PATI masuk negara digagalkan ATM

BUKIT KAYU HITAM, 23 Oktober- Cubaan 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar masuk ke Malaysia melalui sempadan Malaysia-Thailand gagal apabila ditahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Kesemua PATI berkenaan ditahan oleh Tim Ronda di sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) berkata dalam kejadian pukul 8.00 pagi semalam itu, Tim Ronda yang sedang menjalankan rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand telah mengesan pergerakan sekumpulan orang awam dalam keadaan mencurigakan.

Anggota bertugas bertindak menjejaki dan menahan kesemua orang awam seramai 13 orang.

Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya adalah warganegara Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah berumur antara 18 hingga 51 tahun, terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita.

Turut dirampas adalah 7 telefon bimbit, sejumlah wang tunai dalam matawang Malaysia, Myanmar dan Thailand, 10 kad pengenalan warga Myanmar dan tujuh beg pakaian dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah lebih RM4,000.

Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam.

Pasukan beroperasi akan terus mempertingkatkan kawalan di sempadan negara bagi mengekang kemasukan PATI dan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.


(Foto FB Markas 2 Divisyen)

Media Baharu