Cuaca panas: Pam air bergerak dipasang di kawasan sawah di Seberang Perak

Pam air yang dipasang di tali air utama bagi membantu air mengalir ke sawah.

SEBERANG PERAK, 1 April – Lapan pam air bergerak dipasang di kawasan Jelapang Padi di sini bagi menampung kekurangan bekalan air akibat kemarau berpanjangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • IADA memantau lebih 13,000 hektar sawah merangkumi dua skim utama, melibatkan lebih 5,000 pesawah.
  • Pam ditempatkan di lokasi kritikal: tali air utama, parit pembuang ke tali air sekunder dan testier untuk memastikan aliran ke bendang.
  • Pesawah memasang pam sendiri; IADA menyediakan diesel dan berusaha mendapatkan tambahan pam daripada agensi lain bagi tingkatkan kapasiti bekalan air.

Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak, Mohd Shafie bin Mohd Sidek berkata langkah itu bagi memastikan bekalan air terus disalurkan ke kawasan sawah terjejas.

Menurut beliau, kawasan padi seluas lebih 13 ribu hektar itu dipantau rapi pihaknya merangkumi dua skim utama iaitu Seberang Perak, Sungai Manik dan Labu Kubong, melibatkan lebih 5 ribu pesawah.

“Setakat ini IADA Seberang Perak telah menempatkan lapan buah pam, dimana enam buah pam terdiri daripada unit IADA sendiri kemudian dua lagi unit pam adalah milik bahagian Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia.”

“Pam-pam berkenaan ditempatkan di lokasi kritikal terutama di tali air utama, parit pembuang ke tali air sekunder dan testier. Dijangka dua unit pam lagi daripada BPMR
akan tiba pada minggu hadapan.” katanya.

Sehingga 31 Mac, pemasangan pam melibatkan beberapa lokasi bagi menyokong kawasan terjejas.

Bagi musim pertama tahun ini, jadual tanaman telah dikeluarkan sejak 7 Januari dengan agihan air dilaksanakan secara berfasa bermula pertengahan Februari.

Namun, cuaca panas berpanjangan dan penurunan paras air Sungai Perak menjejaskan bekalan air ke kawasan sawah.

Sementara itu, pesawah Mohd Zahir Jamaludin yang ditemui berkata, mereka turut mengambil inisiatif memasang pam sendiri bagi menampung kekurangan bekalan air.

“Bila pam ni dia letak terus di hadapan testier membantu air mengalir terus ke bendang, jadi ia memudahkan petani,” katanya.

Sementara itu, IADA Seberang Perak turut menyediakan bekalan diesel serta berusaha mendapatkan tambahan pam daripada agensi lain bagi meningkatkan kapasiti bekalan air.