KOTA BHARU, 27 Februari -Lima negeri iaitu Selangor, Johor, Sarawak, Pahang dan Sabah di kenalpasti berisiko tinggi berlakunya kebakaran hutan sekiranya pembakaran terbuka dilakukan ketika cuaca panas.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad, beberapa langkah proaktif telah diambil pihaknya bagi memastikan aktiviti pembakaran terbuka berkenaan terkawal.
"Pihak JBPM telah mengeluarkan arahan kepada negeri agar mengambil langkah perlu.
"Pertamanya koordinasi antara agensi. Kita minta supaya negeri dapat duduk bersama JPS untuk keperluan bagi tindakan mobilisasi pam berkapasiti besar dan pengekalan saluran air.
"Kedua bersama Jabatan Alam Sekitar untuk penguatkuasaan, ketiganya adalah Jabatan Mineral dan Geologi untuk pengaktifan telaga air dan yang keempat kita juga berkomunikasi dengan pihak ladang", katanya yang ditemui media selepas Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2023 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan di sini.
Jelas Nor Hisham aktiviti pembakaran hutan merekodkan peningkatan pada tahun lalu iaitu kira-kira 1,291 kes berbanding 692 kes pada tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Nor Hisham berkata sebanyak 80 aduan pelbagai kesalahan termasuk jenayah salah laku diterima pihaknya melibatkan pegawai, anggota dan kakitangan sepanjang tahun lalu.
Manakala jumlah aduan yang diterima dan disiasat melibatkan 35 aduan berasas.
Sementara 34 aduan tidak berasas, tujuh aduan diklasifikasikan tiada tindakan lanjut (NFA). dan empat aduan masih dalam tindakan.