KUALA LUMPUR, 12 Mac- Cuaca kering dan panas dengan suhu melebihi 35 darjah Celsius diramalkan di kebanyakan tempat di Semenanjung dan Sabah sepanjang tempoh tujuh hari ke hadapan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kemas kini terbaharunya turut memaklumkan berdasarkan analisis model-model cuaca, penumpuan angin dijangka berlaku di Sarawak sehingga 15 Mac 2024.
Menurut MetMalaysia keadaan itu berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang di kawasan tersebut terutama pada sebelah petang dan boleh berlarutan hingga ke pagi.
Jabatan itu menasihatkan orang awam untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi mendapatkan maklumat terkini dan sahih.