fb fb fb fb fb

Cuaca panas: Bekalan barangan keperluan masih terkawal, tidak terjejas

(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub melancarkan
cawangan TF Value-Mart Sungai Petani dan inisiatif Payung Rahmah bersama pasaraya itu di
Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah)

SUNGAI PETANI, 8 Mei - Bekalan barangan keperluan di negara ini masih berada dalam keadaan terkawal dan tidak terjejas dengan keadaan cuaca panas yang melanda ketika ini.
 
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bagaimanapun berkata pihaknya akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
 
"Setakat ini tak ada..masih lagi dalam kawalan, yang lain tak berlaku, di Kedah saya difahamkan tidak ada isu gula, kekurangan gula dan tidak ada isu tentang kekurangan 'mineral water', tak ada isu, jadi saya harap perkara ini dapat kita kekalkan,"

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan cawangan TF Value-Mart Sungai Petani dan inisiatif Payung Rahmah bersama pasaraya itu di Sungai Lalang, di sini hari ini.
 
Sementara itu, mengulas mengenai isu kekurangan bekalan gula khususnya di Pantai Timur, baru-baru ini, Salahuddin berkata kementeriannya akan bertindak lebih proaktif dengan membuat perancangan awal dan libat urus yang lebih kerap dengan pemain industri.



(Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub ditemu
bual media selepas melancarkan cawangan TF Value-Mart Sungai Petani dan inisiatif Payung
Rahmah bersama pasaraya itu di Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah)

Ia bagi memastikan tidak berlaku krisis bekalan gula dalam negara pada masa hadapan.
 
Selasa lalu, KPDN memaklumkan berlaku gangguan bekalan gula paket satu kilogram di Kelantan dan Terengganu susulan penutupan sementara kilang gula MSM di Johor dan Perai, Pulau Pinang kerana sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
 
Bagaimanapun kedua-dua kilang MSM tersebut dilaporkan sudah beroperasi semula pada 25 April lalu.
 
Rentetan itu, sejumlah 417,368 kilogram gula diedarkan dari kilang kepada pemborong di Kelantan dan Terengganu, Jumaat lalu bagi menampung kekurangan bekalan terbabit di dua negeri berkenaan.

Media Baharu