
KUALA LUMPUR, 18 Mac – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah mengeluarkan ramalan cuaca khas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan semua sepanjang musim perayaan Aidilfitri.
- Cuaca dijangka secara umumnya kering dan panas di kebanyakan tempat sepanjang cuti Aidilfitri.
- Hujan dan ribut petir berisiko berlaku petang atau awal malam di beberapa kawasan tertentu.
- Sentiasa kekal hidrat dan pakai pakaian selesa yang menyerap peluh untuk mengelakkan strok haba.
- Periksa kenderaan dan berjaga dengan amaran ribut petir untuk elak banjir kilat serta jalan licin.
Berdasarkan ramalan cuaca oleh METMalaysia bagi tempoh 20 hingga 23 Mac, cuaca dijangka secara umumnya kering dan panas di kebanyakan tempat.
Fenomena ini adalah berikutan kehadiran udara yang kering di seluruh rantau negara dalam tempoh tersebut.
Walau bagaimanapun, hujan dan ribut petir masih berisiko berlaku, terutamanya pada waktu petang atau awal malam di beberapa lokasi.
Pada Jumaat, (20 Mac), hujan dijangka berlaku di Perak dan Tawau, Sabah pada waktu pagi, manakala ribut petir diramal berlaku di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Johor pada sebelah petang.
Pada Sabtu, (21 Mac) pula, hujan dijangka turun di Perak pada waktu pagi, manakala ribut petir dijangka beralih ke Lembah Klang serta beberapa bahagian di Sarawak menjelang petang.
Cuaca dijangka baik di seluruh negara pada waktu pagi dan malam Ahad, (22 Mac) kecuali sedikit hujan di beberapa bahagian di Sabah dan Sarawak pada sebelah petang.
Mengambil kira ramalan cuaca ini, orang ramai yang merancang aktiviti ziarah atau rumah terbuka disarankan agar turut memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan dan kesihatan.
Memandangkan cuaca dijangka panas di kebanyakan tempat, rakyat dinasihatkan agar sentiasa kekal hidrasi serta memakai pakaian yang selesa dan menyerap peluh bagi mengelakkan strok haba.
Bagi mereka yang merancang perjalanan pulang ke kampung atau melakukan perjalanan jauh, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan sentiasa peka dengan amaran ribut petir pada sebelah petang bagi mengelakkan risiko banjir kilat atau jalan licin.
Ibu bapa juga disarankan untuk memantau aktiviti anak-anak di luar rumah, terutamanya jika berlaku perubahan cuaca yang mendadak secara tiba-tiba.
Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi MET Malaysia di www.met.gov.my atau menggunakan aplikasi myCuaca bagi mendapatkan kemas kini cuaca dari semasa ke semasa.