fb fb fb fb fb

CIDB laksana lebih 1,500 lawatan ke tapak pembinaan

KUALA LUMPUR, 23 Mei- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Kuala Lumpur telah melaksanakan 1,528 operasi penguatkuasaan di tapak pembinaan di seluruh negara sepanjang Januari hingga April tahun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, 169 lawatan telah dilakukan di sekitar ibu negara dan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menemui lapan lokasi yang disyaki merupakan tempat pembiakan nyamuk aedes iaitu enam dalam bangunan dan dua di luar bangunan.

Perkara tersebut menimbulkan kebimbangan berikutan tapak pembinaan itu berdekatan dengan perumahan penduduk.

"Kementerian Kesihatan menemui lapan tempat pembiakan nyamuk aedes dan kompaun telah dikenakan sebanyak RM500 untuk satu tempat. Sekiranya lapan lokasi darab dengan lapoan, ianya berjumlah RM4,000 kompaun hanya untuk mengenai kesalahan tempat yang tidak bersih.

"Untuk pengekangan nyamuk, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) juga melihat ada sampah-sampah yang bercampur dengan sampah makan dan juga sampah dari pembinaan," katanya selepas membuat Operasi Penguatkuasaan CIDB di ibu negara.

Ahmad berkata kawasan pembinaan terbabit telah diarahkan memberhentikan operasi selama 14 hari melalui notis pemberhentian kerja yang dikeluarkan di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (Akta 520) atas pelanggaran berkenaan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan kontraktor tapak pembinaan agar sentiasa merujuk laman web CIDB bagi mengetahui jenis kursus peningkatan profesionalisme untuk mengelakkan berlakunya kesalahan berkaitan SOP tapak pembinaan.

aidan