fb fb fb fb fb

China tawar 3,125 lagi kuota peluang pengajian TVET kepada Malaysia - TPM

Foto FB Zahid Hamidi

BEIJING, 30 Mei- Sebanyak 3,125 lagi peluang pengajian ditawarkan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar Malaysia di China.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini hanya 2,000 tempat dibuka kepada belia Malaysia untuk memanfaatkan perkongsian kepakaran antaranya berkaitan automotif dan kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI) dan teknologi internet pelbagai benda (IoT).

Ketika ini, Malaysia telah menghantar seramai 850 pelajar untuk menjalani kursus jangka pendek, sederhana dan panjang di institusi berkaitan bermula bulan ini hingga tahun depan secara berperingkat.

Kos pengajian dibiayai sepenuhnya oleh pihak industri di China antaranya 'Beifang International Education Group' (Beifang) serta 'Tang International Education'.

Manakala Malaysia hanya perlu menyediakan tiket penerbangan untuk pelajar berkenaan.

"Ini adalah hasil daripada kerja yang telah dilakukan oleh belia mahir, pihak 'Malaysia-China Institute' (MCI) terutamaya GiatMARA dan juga Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"Untuk itu, kita akan menawarkan 500 tempat untuk pelajar Malaysia keturunan Cina, 200 India, 200 pelajar Sarawak dan 200 tempat di Sabah," katanya kepada pemberita selepas melawat 'Beifang Automotive Education Group' di sini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, persetujuan pertambahan kuota pelajar itu diterima segera sejurus selepas pertemuannya bersama-sama Perdana Menteri China, Li Qiang, semalam.

Katanya, lebih banyak tawaran akan dibuka China kepada pelajar Malaysia dalam bidang TVET selaras kolaborasi stategik MCI melalui Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China bagi meningkatkan kemahiran kepada pelajar TVET di Malaysia.

Ini juga peluang meneroka pembangunan kerjaya serta melonjakkan kebolehpasaran graduan, selain mewujudkan gaji premium kepada belia berkemahiran tinggi.

Sementara pihak Beifang juga akan menghantar peralatan latihan termasuk enam unit kereta EV dan hidrogen kepada GiatMara untuk dijadikan model latihan bagi pelajar.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan rasmi ke China selama 11 hari bermula pada 22 Mei lalu.

Dalam pada itu, pelajar Malaysia yang mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang automotif di Beifang menggesa para belia memanfaatkan peluang ditawarkan kerajaan.

"Kita belajar secara 'total' berkenaan kereta elektrik dan juga kereta hidrogen. Di situ kita belajar perkara-perkara atau elemen yang sangat susah nak dapat...sebab di Malaysia kita ada 'conversion car' maksudnya kereta yang memerlukan petrol. Di sini kita belajar kereta-kereta berkenaan elektrik yang memang secara 'total' menggunakan elektrik dan bateri," kata Mohamed Yusuf Hassan, mahasiswa UiTM.

"Alhamdullilah kita didedahkan dengan kemajuan teknologi. Namun kini Malaysia telah bergerak ke arah TVET yang lebih maju. Jadi insya-Alllah seterusnya akan ada fasa ketiga keempat dan kelima. Saya harapkan semua belia di luar sana mengambil peluang yang sedia ada yang telah diberikan daripada kerajaan kepada belia untuk kita majukan, lebih-lebih lagi TVET untuk negara," kata Aniq Zamzamy Sibron, mahasiswa UMPSA.

"Saya rasa TVET ini manfaat untuk belia dan pelajar, dapat peluang ke China, sambung 'studies' atau ambil kursus yang pendek. Harap belia dan pelajar selepas SPM 2023 dapat menghargai peluang ini, marilah belajar TVET..belajar bersama-sama dengan kami," kata Brent Tan Kheng Hean, mahasiswa UMPSA.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM