fb fb fb fb fb

China sifatkan Malaysia negara sahabat, jiran dipercayai

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 21 Jun- Lawatan Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia walaupun singkat, namun berjaya mengukuh dan meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Datuk Abdul Majid Ahmad Khan menyifatkan perhubungan kedua-dua negara amat baik dalam pelbagai sektor.

"Perdana Menteri China menganggap Malaysia sebuah negara sahabat yang karib dan jiran boleh dipercayai. (Beliau) berikrar untuk memperdalam serta perbesar hubungan antara kedua-dua negara pada masa hadapan

"Kedua-dua negara telah memperdalamkan kerjasama dalam pelbagai bidang terutama bidang ekonomi. Ini jelas menerusi beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani.

"... merangkumi sektor-sektor 'digitalisation' 'green technology' dan pembuatan, juga lain-lain bidang termasuk perumahan dan pelajaran," katanya kepada pemberita ketika dihubungi RTM hari ini.

Qiang tiba di Malaysia pada Selasa lepas untuk lawatan rasmi tiga hari yang berakhir semalam dan merupakan kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Mac 2023.

Lawatan beliau bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China susulan pemeteraian Penyataan Bersama antara Perdana Menteri Kedua Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China ketika itu, Chou En Lai pada 31 Mei 1974.

China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009. Tahun lepas jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion (AS$98.80 bilion), mewakili 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA