KUALA LUMPUR, 9 Februari- Sebanyak 53,302 soalan telah dikemukakan oleh pengguna menerusi Chatbot Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) di portal Sebenarnya.my dan platform WhatsApp; setakat 6 Februari lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan secara purata, 5,330 soalan diterima setiap hari dengan majoriti pengguna menggunakan aplikasi Whatsapp.
Beliau berpandangan kemudahan itu penting bagi membantu pengguna menyemak kesahihan maklumat sekali gus menangkis penyebaran berita palsu.
"Kita harap dalam lingkungan media sosial, kita boleh bekerjasama membasmi fahaman tahyul, berita-berita palsu yang tersebar dan mendidik pengguna melalui chatbot AIFA. Semak sebelum sebar, tak pasti jangan kongsi.
"Chatbot AIFA membina model bahasa yang luas. Untuk permulaan ia mengambil berita dari sumber rasmi termasuk dari Bernama dan Berita RTM.
"Jadi, memang kita mulakan dengan maklumat yang dilaporkan secara rasmi jadi mereka juga memanfaatkan pengesahan berita mereka seperti sebenarnya.my, mychat.my dan juga Biar Betul yang disiarkan setiap malam pukul 7.59 di RTM TV1," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian dan Pelancaran Perayaan 60 Tahun Silat Cekak di Angkasapuri Kota Media.
Pada masa sama beliau berharap agar masyarakat memanfaatkan chatbot tersebut sebagai satu kemudahan bagi menyemak maklumat secara cepat dan efisien.
Chatbot AIFA merupakan sebuah chatbot yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mesra pengguna dan boleh diakses 24 jam di portal sebenarnya.my, serta platform WhatsApp.
Chatbot tersebut tersedia dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil bagi memastikan akses kepada pelbagai kumpulan pengguna.