fb fb fb fb fb

Ceroboh perairan negara, nelayan Vietnam ditahan

KEMAMAN, 4 Ogos- Dua bot nelayan asing ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di perairan laut timur Kuala Kemaman selepas dikesan menceroboh perairan negara.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidihadi Abdul Rashid berkata kesemua bot dikendalikan 23 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur lingkungan 19 hingga 64 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Mereka ditahan bersama bot dengan anggaran seribu liter minyak diesel, ikan campur dianggarkan sekitar 3 tan serta peralatan menangkap ikan.

(Komander Maritim Rashidihadi Abdul Rashid)

Nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.2 juta.

Tahanan turut menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai langkah pencegahan.

"Kita jangkakan nelayan-nelayan asing ini akan menunggu peluang untuk masuk ke dalam perairan kita dan mencuri hasil laut.

"Kita sentiasa bersiap siaga dan sentiasa melakukan rondaan khususnya di sekitar perairan negeri Terengganu dan perairan pantai timur khususnya di antara sempadan Malaysia Vietnam dan Malaysia Indonesia," katanya.

APMM memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan meningkatkan lagi rondaan serta kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terpelihara.

Media Baharu