KUALA NERUS, 27 September – Pusat Tenaga Boleh Diperbaharui Luar Pesisir (CEFORE), projek rintis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama PETRONAS, muncul sebagai projek pertama seumpamanya di negara ini yang menggabungkan pelbagai sumber tenaga lestari dalam satu sistem operasi di Pantai Tok Jembal, di sini.
CEFORE dibangunkan sebagai makmal sebenar untuk penyelidikan, inovasi dan latihan berkaitan tenaga boleh diperbaharui, dengan mengintegrasikan tiga sumber utama iaitu tenaga angin, solar terapung dan tenaga ombak.
Naib Canselor UMT, Profesor Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata semua tenaga tersebut disalurkan ke dalam sistem simpanan bateri berkapasiti 1.3 megawatt-jam, yang mampu menampung lebih 100 buah rumah dari segi penggunaan elektrik.
“Ia juga digunakan secara langsung untuk mengoperasikan mesin penjana ais berkapasiti antara 800 hingga 1,000 kilogram sehari, yang dimanfaatkan secara percuma oleh lebih 100 nelayan setempat.
“Ini memberi impak langsung kepada komuniti nelayan untuk menyimpan hasil tangkapan dengan lebih baik, serta mengurangkan kebergantungan kepada ais komersial,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian CEFORE di Pantai Tok Jembal, di sini.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menandatangani plak perasmian Pusat Tenaga Boleh Diperbaharui Luar Persisir (CEFORE) di Pantai Tok Jembal/Foto Bernama
Majlis pelancaran disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nurzahirah.
Beliau turut menjelaskan projek itu adalah contoh kerjasama strategik antara universiti dan industri.
“Ini adalah salah satu projek usaha sama bersama pihak industri, dalam konteks ini PETRONAS, yang seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi untuk menjadikan industry on campus. Maksudnya kita bekerjasama dengan pihak industri membangunkan real lab untuk kegunaan pelajar.
“Alhamdulillah, UMT tahun ini juga menawarkan program baharu, iaitu Ijazah Sarjana Muda Teknologi Tenaga Boleh Diperbaharui, dengan 40 pelajar pertama akan memulakan pengajian pada Oktober nanti,” jelasnya.
Projek CEFORE yang dibangunkan sejak 2023 dengan sokongan Kementerian Pendidikan Tinggi mula beroperasi pada Jun lalu, dan dijangka turut menjadi tarikan edu-pelancongan serta pusat pembelajaran masyarakat, selaras aspirasi UMT untuk memacu pendidikan lestari dan kemampanan tenaga.