IPOH, 29 November - Kerajaan Perak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri itu.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad ketika membentangkan belanjawan bertemakan ‘Perak Makmur, Rakyat Sejahtera’ berkata , bayaran penuh akan dibuat minggu terakhir bulan depan.
Pembayaran termasuk kepada semua guru lantikan negeri , orang besar jajahan, ketua-ketua kampung serta kakitangan bawah kontrak MySTEP.
"BKK dua bulan gaji berasaskan kepada gaji akhir November 2024 dan akan dibayar pada Disember tahun ini," kata Saarani.
Dalam pembentangan tersebut, beliau turut mengumumkan kenaikan kadar bantuan am sebanyak RM100 dengan menjadikan jumlah keseluruhan bayaran berjumlah RM500 sebulan berkuatkuasa Januari 2025. Pemberian itu memberi manfaat kepada 6,100 penerima.