
LANGKAWI, 26 Mac -Tindakan pengusaha feri yang melaksanakan catuan jadual perjalanan dari Pulau Langkawi ke tanah besar dikhuatiri akan memberi kesan kepada penduduk di daerah tersebut.
- NGO Anak Muda MADANI Kedah gesa Kementerian Pengangkutan campur tangan segera.
- Pengerusi Datuk Zuraidi Rahim bimbang masalah tidak ditangani akan menjejaskan penduduk dan sektor pelancongan.
- Pelajar sukar pulang ke tanah besar kerana tiket tidak diperoleh pada tarikh tertentu.
- Ferry Line Ventures umum susun semula jadual selepas Aidilfitri, kurangkan perjalanan dari lima ke tiga harian akibat kenaikan kos diesel.
Sehubungan itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Anak Muda MADANI Kedah menggesa Kementerian Pengangkutan supaya campur tangan dalam menangani isu catuan itu.
Pengerusinya, Datuk Zuraidi Rahim bimbang sekiranya isu berkenaan tidak ditangani dengan segera, ia akan memberi kesan yang lebih buruk bukan sahaja kepada penduduk Langkawi, malah turut menjejaskan sektor pelancongan di pulau peranginan itu.
“Pada 28 dan 29 hari bulan ini, saya difahamkan tiada perkhidmatan feri. Keadaan ini menyebabkan pelajar-pelajar yang ingin pulang ke tanah besar tidak dapat memperoleh tiket. Jadi, bagaimana mereka hendak pulang?
“Saya berharap pemilik-pemilik feri tidak hanya mementingkan kepentingan sendiri untuk mengaut keuntungan semata-mata. Perkhidmatan feri berada di bawah Kementerian Pengangkutan, begitu juga dengan lesen pengoperasiannya.
“Saya juga berharap YAB Perdana Menteri dapat menangani perkara ini dengan sebaiknya supaya penduduk Langkawi tidak terbeban atau terkesan akibat catuan perkhidmatan feri yang berlaku ketika ini, ” katanya kepada pemberita, di sini.
Pada 21 Mac lalu, Pengurus Besar Ferry Line Ventures Sdn Bhd, Baharin Baharom dalam kenyataan berkata, jadual perkhidmatan feri ke Langkawi akan disusun semula selepas Aidilfitri ini, berikutan kenaikan harga minyak diesel industri yang meningkat melebihi
100 peratus.
Menurutnya, langkah penyusunan semula itu perlu bagi mengurangkan risiko kerugian yang semakin membebankan pengusaha feri di Langkawi selaras dengan peningkatan kos operasi.
Baharin berkata, jadual asal operasi feri sebanyak lima kali sehari akan dikurangkan kepada tiga perjalanan sehari sebagai langkah kawalan kos dan penyesuaian kepada permintaan semasa.