MELAKA, 17 Januari - Dua nelayan dilaporkan hilang di perairan Pulau Undan sejak petang semalam. Laporan kehilangan kedua-dua nelayan itu dibuat majikan mereka selepas gagal dihubungi sejak semalam.
Kedua-dua mangsa iaitu tekong bot Muarep Sakem, 63 tahun bersama-sama awak-awak Rosenizam Maharam, 50 tahun keluar memukat pada 15 Januari lalu menggunakan bot gentian kaca berwarna coklat biru.
Kali terakhir berhubung adalah pada pukul 10.00 pagi semalam bagi memaklumkan enjin bot yang digunakan mengalami kerosakan.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada pukul 7.30 malam semalam.
"Bot-bot nelayan berhampiran turut membantu melakukan pencarian di kawasan sekitar, namun tiada sebarang petunjuk ditemui. Operasi CARILAMAT disambung bermula pagi tadi," menurutnya menerusi satu kenyataan.
Kawasan pencarian meliputi lebih 548 kilometer persegi. Pihak berkuasa Indonesia turut dimaklumkan mengenai kejadian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-387 6730 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.