PUTRAJAYA, 28 Ogos- Beberapa perkara akan ditambah baik termasuk capaian internet di pusat media sepanjang sambutan Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Putrajaya di sini bagi memastikan kelancarannya pada Sabtu ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, usaha itu termasuk menambah beberapa titik akses dan wi-fi serta menyediakan 36 kenderaan Cell on Wheels (COW) di sepanjang lokasi perbarisan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dalam menampung jumlah pengunjung yang hadir pada sambutan itu.
"...di beberapa lokasi saya dapati capaian internet berdasarkan wi-fi tidak memuaskan dan terima kasih kepada Telekom Malaysia (TM) kerana membantu memastikan seluruh kawasan yang telah dikenal pasti mempunyai capaian internet yang baik.
"Saya juga minta kepada rakan-rakan media sekiranya anda berada di sini, sila beri maklum balas kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.
Menurut Fahmi penambahbaikan itu dibuat berdasarkan aduan yang diterima berkaitan kualiti capaian internet yang kurang baik
Dalam pada itu Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 menyarankan pengunjung untuk menggunakan pengangkutan awam yang disediakan.
Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini diadakan di Dataran Putrajaya dengan tema 'Malaysia Madani, Jiwa Merdeka'.
Ia dianjurkan di Putrajaya buat julung kalinya pada 2003, seterusnya pada 2005, 2018, 2019 dan 2023.