Cameron Highlands, Kundasang antara fokus laksana pemetaan kawasan berpotensi kejadian tanah runtuh

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemetaan kawasan berpotensi tanah runtuh memberi fokus kepada Cameron Highlands dan Kundasang.
  • Jabatan Mineral dan Geosains melaksanakan pemetaan area-based seluas kira-kira 2,966 km persegi.
  • Dua jenis Peta Bahaya dan Risiko Cerun dibangunkan: linear based dan area based.
  • Penguatkuasaan EIA diperketatkan untuk aktiviti pertanian dan perladangan yang ditetapkan.

KUALA LUMPUR, 20 Januari – Kawasan pertanian aktif di tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Kundasang antara fokus Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam dalam melaksanakan pemetaan kawasan berpotensi kejadian tanah runtuh.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pelaksanaan melalui Jabatan Mineral dan Geosains itu meliputi keluasan sekitar 2,966 kilometer persegi yang menjadi usaha awal perkukuh perancangan pembangunan dan pengurusan cerun secara bersepadu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup

”Sehingga kini, dua jenis Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) telah dibangunkan, iaitu PBRC berasaskan ‘linear based’ dan ‘area-based’.

”Jabatan Kerja Raya bertanggungjawab menyediakan PBRC berasaskan linear-based bagi laluan Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia, manakala Jabatan Mineral dan Geosains menyediakan PBRC berasaskan area-based yang meliputi lokasi selain jalan raya dan lebuh raya,” katanya.

Kementerian, menurut beliau lagi, turut memperkukuh mekanisme kawalan melalui pelaksanaan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi sebarang aktiviti pertanian dan perladangan yang diklasifikasikan sebagai aktiviti yang ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti) Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai melaksanakan pemetaan menyeluruh perladangan monokultur mengikut kecerunan di seluruh negara, bagi menilai risiko banjir lumpur dan tanah runtuh serta melindungi kawasan tadahan kritikal, di Dewan Rakyat.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan