fb fb fb fb fb

Calon SPM terjejas banjir di Sarawak diminta hubungi pihak sekolah segera

Pusat Kawalan Operasi Daerah Telang Usan membuat pemantauan air banjir/Foto APM Sarawak

KUCHING, 1 Februari – Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir di negeri ini diminta untuk segera menghubungi pihak sekolah masing-masing bagi mendapatkan bantuan untuk kembali ke sekolah sebelum peperiksaan bersambung pada Isnin.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, berkata mereka juga boleh memaklumkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk memohon bantuan.

"Sekarang ini, pengetua sekolah bagi murid-murid yang terjejas banjir masih berusaha untuk membawa mereka balik ke sekolah. Kita ada beberapa kes di Miri dan Subis, dan pengetua sedang berusaha memastikan mereka tiba sebelum Isnin ini," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekenu, yang bukan sekolah berasrama, telah menyediakan penginapan sementara bagi memastikan 77 calon SPM dapat menduduki peperiksaan tanpa gangguan.

"Kami meminta ibu bapa memastikan anak-anak mereka kembali ke sekolah bagi menyelesaikan kertas peperiksaan terakhir yang akan berlangsung pada Isnin dan berakhir Khamis ini.

"Ini termasuk kertas Biologi, Perniagaan, dan Geografi," katanya ketika ditemui pemberita di PPS Sekolah Kebangsaan Sejijak, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Omar memaklumkan bahawa sebanyak 161 buah sekolah di Sarawak terjejas akibat banjir, melibatkan 157 sekolah menengah dan empat sekolah rendah.

 

GRACE AISYAH KEDAYAN