Calon SPM 2025 berkeperluan khas di Sarawak pamer prestasi positif

Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Omar Mahli

KUCHING, 31 Mac – Prestasi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sarawak dalam kalangan calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • 112 calon berkeperluan khas lulus semua mata pelajaran, meningkat daripada 86 pada tahun sebelumnya.
  • Kadar kelulusan CBPK meningkat kepada 72.73 peratus, kenaikan 5.01 peratus berbanding tahun lalu.
  • Jabatan Pendidikan meneruskan intervensi bagi memperkukuh pencapaian, memberi tumpuan kepada Sejarah; Bahasa Melayu kekal tinggi pada 98.4 peratus.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak, Omar Mahli, berkata pencapaian calon berkeperluan khas merekodkan seramai 112 calon berjaya lulus semua mata pelajaran, meningkat berbanding 86 calon pada tahun sebelumnya.

“Peratusan calon layak memperoleh sijil SPM 2025 dalam kalangan calon berkeperluan khas turut meningkat kepada 72.73 peratus, iaitu kenaikan sebanyak 5.01 peratus berbanding tahun lalu,” katanya dalam majlis pengumuman keputusan SPM 2025 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, jumlah calon berdaftar yang menduduki peperiksaan SPM di Sarawak turut mencatat peningkatan kepada 36,840 orang berbanding 35,423 calon pada tahun sebelumnya.

Jabatan Pendidikan Sarawak juga akan meneruskan langkah intervensi bagi memperkukuh pencapaian pelajar, khususnya dalam subjek teras seperti Sejarah.

Usaha tersebut penting bagi membantu calon meningkatkan prestasi, memandangkan masih terdapat sebahagian calon yang belum mencapai tahap kelulusan dalam subjek berkenaan.

Bagi subjek Bahasa Melayu pula, kadar kelulusan kekal tinggi iaitu sebanyak 98.4 peratus, sekali gus mencerminkan penguasaan yang baik dalam kalangan calon.