fb fb fb fb fb

Cakna Kasih, prihatin golongan memerlukan

Program Cakna Kasih, prihatin golongan memerlukan

KANGAR, 22 Januari- Lebih 400 keluarga yang terdiri daripada asnaf, anak yatim, pesakit terlantar dan mangsa bencana telah menerima sumbangan yang disalurkan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri Sena sepanjang tahun lalu.

Sumbangan yang disalurkan berupa bakul makanan, barangan penjagaan diri, kerusi roda dan wang tunai mengikut keperluan dan keadaan semasa setiap keluarga menerusi Program Cakna Kasih.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Marzita Mansor, pihaknya sentiasa berusaha membantu penduduk yang memerlukan sumbangan barangan keperluan asas serta pelbagai bantuan lain bagi meringankan beban dalam menjalani kehidupan seharian.

"Justeru itu, penduduk setempat diharap sentiasa cakna dengan permasalahan dihadapi ahli keluarga atau jiran tertangga untuk memaklumkan permasalahan dihadapi ke pusat khidmat agar bantuan dapat disalurkan segera", katanya pada Program Cakna Kasih di sekitar Kampung Padang Behor, salah satu dari 22 kampung di kawasan Sena.

Setiap keluarga yang diziarahi didoakan semoga tabah menghadapi ujian yang menimpa dan diberikan kesembuhan, kesihatan yang berkat dan berpanjangan serta sentiasa dimurahkan rezeki.

Bagi tahun 2024, lebih ramai keluarga di kawasan Dewan Undangan Negeri Sena disasarkan menerima pelbagai bantuan yang akan disalurkan mengikut keperluan dan secara berkala.

ROSLINA BINTI DIN