ALOR SETAR, 13 Disember- Persatuan Pengguna Kedah, (CAKE) menyambut baik pelantikan Datuk Armizan Mohd Ali sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang baharu.
Presiden CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff yakin Armizan akan memberi tumpuan terhadap isu-isu utama berkaitan kenaikan kos harga barang dan masalah kekurangan bekalan minyak masak dan gula di pasaran.
Beliau juga yakin, Armizan mampu melakukan reformasi dan mengkaji serta melakukan penambahbaikan khususnya berkaitan pencatutan dan pensaingan.
"Saban tahun kita bersuara, persatuan-persatuan pengguna ini bersuara mengenai isu-isu permasalahan untuk harga barang ,berkaitan dengan isu persaingan dan juga monopoli kartel dan sebagainya. Kita harap supaya Menteri lebih fokus ke arah bagaimana untuk memperbaiki sistem ini yang mereka katakan sudah lama berlaku sejak dari kerajaan terdahulu. Hari ini kita harap supaya apabila dilantik kerajaan dapat menyelesaikan isu yang menjadi kemelut rakyat selama ini," katanya di pejabatnya di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Datuk Armizan sebagai Menteri KPDN yang baharu.
Beliau menggantikan Datuk Seri Salahuddin Ayob yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 23 Julai lalu selepas ditidurkan susulan pembedahan akibat pendarahan otak.
Sejak itu, Armizan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilantik untuk memangku jawatan Menteri KPDN sehinggalah pengumuman rombakan kabinet yang baharu, semalam.