fb fb fb fb fb

Cadangan WBB diperhalusi melibatkan pimpinan tertinggi KKM

Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 17 Januari- Cadangan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) akan diperhalusi menerusi permukiman melibatkan pimpinan tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, isu sumber manusia dan mutu penyampaian perkhidmatan akan turut dibincangkan pada permukiman selama tiga hari yang bermula hari ini.

"Pastinya projek rintis itu akan dapat dijalankan bagi mengenal pasti bahagian organisasi yang bergerak supaya kita tahu titik bengek dalam pelaksanaan.

"Saya yakin apabila ia telah dikenal pasti kita akan dapat buat pengumuman itu pada akhir permukiman ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di ibu negara.

Menurut Dzulkefly kementerian komited untuk menambah baik persekitaran kerja yang menyokong kebajikan dan kesejahteraan pekerja.

Perkara itu dilihat dapat memastikan perkhidmatan terbaik dapat diberikan demi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

WBB merupakan cadangan perubahan aturan jadual kerja yang dibina oleh petugas KKM berdasarkan libat urus sejak Januari tahun lepas di beberapa jabatan di fasiliti kesihatan terpilih.

Ia melibatkan pegawai perubatan dan pakar perubatan secara bersasar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI